SHAH ALAM, 30 MAC: Permohonan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi anak Selangor dibuka semula, dengan bantuan RM1,000 disediakan kepada pelajar yang layak.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu bertujuan meringankan beban kewangan pelajar, khususnya mereka yang melanjutkan pengajian ke tahun pertama di universiti diiktiraf Kerajaan Negeri.
Menurutnya, bantuan berkenaan meliputi pelajar daripada peringkat Sijil Kemahiran Tahap 4 hingga Ijazah Sarjana Muda.
“Tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta, meningkat berbanding RM3 juta sebelum ini supaya lebih ramai pelajar dapat menerima manfaat,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berharap inisiatif itu dapat membantu anak-anak Selangor meneruskan pengajian dengan lebih tenang.
Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, Amirudin mengumumkan peningkatan peruntukan HPIPT kepada RM5 juta, berbanding RM3 juta sejak skim itu diperkenalkan pada 2023.
Menerusi inisiatif itu, RM1,000 diberikan kepada anak Selangor yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang diiktiraf.
Menurutnya, bantuan tersebut layak untuk pelajar di peringkat Sijil Kemahiran Tahap 4, diploma dan ijazah sarjana muda.









