Konflik Asia Barat cetus gangguan perkapalan global, Klang kurang terjejas

30 Mac 2026, 12:32 AM
Konflik Asia Barat cetus gangguan perkapalan global, Klang kurang terjejas

SHAH ALAM, 30 MAC: Konflik berpanjangan di Asia Barat berpotensi mengganggu laluan perkapalan global serta meningkatkan kos logistik, namun kesannya terhadap Pelabuhan Klang dijangka minimum.

Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Datuk K. Subramaniam berkata pelabuhan itu kekal kukuh kerana sebahagian besar kargonya melibatkan perdagangan intra-Asia yang kurang terjejas oleh perkembangan di Timur Tengah.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan konflik berpanjangan masih boleh mengubah corak perkapalan serantau, dengan kargo ke Timur Tengah berkemungkinan tidak lagi melalui Teluk Parsi, sebaliknya beralih ke pelabuhan di Laut Merah atau Oman.

“Tempoh pusingan kontena akan terjejas akibat masa transit lebih panjang melalui darat ke negara Teluk, sekali gus menyebabkan kekurangan kontena.

“Namun, kesan terhadap Pelabuhan Klang dijangka kecil kerana sebahagian besar kargo adalah perdagangan intra-Asia yang kurang terkesan,” katanya kepada Media Selangor.

Subramaniam berkata operasi di Pelabuhan Klang ketika ini stabil tanpa tanda kesesakan walaupun berlaku ketegangan geopolitik.

“Aktiviti terminal di Westports dan Northport masih berada pada tahap kapasiti yang terkawal,” katanya.

Ketegangan serantau meningkat sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari lalu, yang memberi kesan kepada ekonomi global.

Penutupan Selat Hormuz serta serangan terhadap infrastruktur kritikal telah mengganggu kestabilan pasaran minyak global dan keselamatan tenaga serantau, termasuk di Asia Tenggara. Keadaan itu turut meningkatkan kadar tambang dan kos logistik serta memberi tekanan kepada aliran perdagangan dunia.

Pada 26 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Iran membenarkan kapal Malaysia melalui Selat Hormuz, sekali gus memudahkan pergerakan kapal tangki minyak serta membawa pulang pekerja Malaysia yang terkandas.

Walaupun berdepan cabaran itu, Subramaniam berkata Pelabuhan Klang mempunyai kapasiti mencukupi dan keupayaan operasi untuk menampung perubahan aliran kargo.

Operator terminal turut memperkukuh keupayaan melalui peluasan kapasiti, penambahbaikan operasi serta penggunaan teknologi digital.

Langkah mengurangkan risiko kesesakan termasuk penyelarasan lebih rapat dengan syarikat perkapalan, perancangan kawasan simpanan yang lebih baik serta mempercepatkan proses pelepasan kontena.

“Langkah ini turut disokong sistem digital yang meningkatkan ketelusan dan kecekapan rantaian logistik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan krisis berpanjangan berpotensi memberi manfaat kepada Pelabuhan Klang, khususnya dalam aktiviti pemindahan kargo (transhipment), apabila syarikat perkapalan mengubah laluan bagi mengekalkan kecekapan rangkaian.

“Secara keseluruhan, pelabuhan ini kekal berdaya tahan dan semua pihak terus memantau keadaan bagi memastikan operasi berjalan lancar,” katanya.

Sebelum ini, pada 16 Mac, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menggesa semua pelabuhan di Malaysia bersedia menghadapi pertambahan kontena susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Beliau berkata langkah proaktif perlu diambil bagi mengelakkan gangguan atau kesesakan, termasuk di Pelabuhan Klang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.