SHAH ALAM, 11 MEI: Pengurangan subsidi bahan api bagi golongan berpendapatan tinggi (T20) perlu dilaksanakan bagi meredakan tekanan fiskal kerajaan serta memperkemas penyaluran bantuan bersasar.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenaikan harga minyak global susulan konflik di Asia Barat menyebabkan kos subsidi bahan api negara meningkat ketara.
“Kerajaan kini berdepan tekanan fiskal yang semakin meningkat apabila kos subsidi terus melonjak selari dengan kenaikan harga minyak. Sumber kewangan kerajaan adalah terhad untuk terus menampung perbelanjaan tinggi ini dalam jangka panjang,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan subsidi bahan api bagi golongan T20 seawal bulan depan susulan peningkatan kos akibat harga minyak global yang tidak menentu.
Akmal dalam temu bual bersama CNA berkata langkah ke arah subsidi bersasar dibuat selepas perbelanjaan subsidi bulanan kerajaan meningkat mendadak kepada RM6 bilion pada April berbanding RM700 juta sebelum konflik Asia Barat.

Susulan itu, Afzanizam menyifatkan cadangan kerajaan membenarkan golongan T20 menanggung kos bahan api lebih tinggi sebagai langkah yang wajar.
“Secara asasnya, subsidi bahan api sepatutnya ditujukan kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah, bukan kepada golongan berpendapatan tinggi.
"Namun, struktur subsidi Malaysia ketika ini masih bersifat menyeluruh, menyebabkan golongan kaya turut menikmati harga bahan api bersubsidi,” katanya.
Afzanizam berkata kajian oleh institusi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa menunjukkan subsidi bahan api cenderung memberi manfaat lebih besar kepada golongan berpendapatan tinggi kerana mereka lazimnya memiliki kenderaan dengan penggunaan bahan api lebih tinggi.
“Penyusunan semula sistem subsidi akan membolehkan kerajaan menyalurkan penjimatan kepada perlindungan kebajikan golongan M40 dan B40, sambil mengekalkan harga bahan api bersubsidi kepada mereka yang layak.
“Pada masa sama, reformasi perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi mengelakkan kejutan kepada ekonomi,” katanya.

Mengulas prospek ekonomi, beliau berkata ketegangan geopolitik berpanjangan di Asia Barat berpotensi menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dan domestik.
“Malaysia sebagai ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan dan pelaburan antarabangsa kekal terdedah kepada perkembangan luar.
“Kita kini berada dalam keadaan berhati-hati dalam menilai prospek ekonomi masa depan kerana sebarang perkembangan global akan memberi kesan langsung kepada Malaysia,” katanya.
Ketegangan di Asia Barat memuncak selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari, yang kemudian mencetuskan tindakan balas dari Tehran.
Keadaan itu turut menyebabkan gangguan di Selat Hormuz, laluan utama perdagangan minyak dunia, sekali gus menjejaskan bekalan global dan mendorong kenaikan harga bahan api di peringkat antarabangsa.








