HULU LANGAT, 30 MAC: Tiada pembelian panik dikesan dalam kalangan pengguna di sekitar Balakong dan Cheras, apabila orang ramai dilihat terus berbelanja secara rasional dengan mengutamakan keperluan harian.
Bagaimanapun, tinjauan Media Selangor mendapati kebanyakan pengguna mengawal perbelanjaan susulan ketidaktentuan ekonomi dan mengamalkan langkah berjimat cermat.
Penghulu Cheras Jaya Azharudin Md Ali berkata situasi pembelian barangan ketika ini masih stabil dan terkawal tanpa lonjakan luar biasa.

“Walaupun terdapat peningkatan harga bagi sesetengah barangan, ia tidak berlaku secara drastik sehingga mencetuskan pembelian panik. Setakat ini, pembelian masih terkawal dan kebanyakan pengguna hanya membeli keperluan harian.
"Ada barangan seperti telur yang cepat habis, namun keadaan masih dalam kawalan,” katanya ketika ditemui di Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya semalam.
Sementara itu, pasangan dari Balakong, Karmila Jamadi dan Mohd Azizan A Wahid berkata mereka mengamalkan perbelanjaan sederhana mengikut keperluan.

“Kami beli apa yang perlu sahaja. Setakat ini belum ada pembelian panik walaupun ada barangan seperti minyak masak dan telur yang kadangkala terhad,” kata mereka.
Menurut mereka, keadaan ekonomi sedikit menekan, namun inisiatif JER banyak membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian.
Bagi Aqila Azaha pula, beliau merancang pembelian dengan membeli ikut keperluan dan mengakui tidak menyimpan stok.

“Saya akan buat perbandingan harga sebelum membeli. Ada barangan seperti beras yang cepat habis, jadi kita perlu bijak merancang pembelian.
“Saya tidak menyimpan stok dan hanya beli apabila keperluan habis,” kata Aqila Azaha.
Seorang lagi penduduk, Nurliana Ismail berkata beliau kini lebih memberi tumpuan kepada barangan keperluan sahaja berbanding sebelum ini.
“Sekarang saya lebih berjimat dan biasanya membeli barangan sebulan sekali.
”Barangan seperti beras dan minyak masak kadangkala cepat habis, tetapi saya tidak membeli secara berlebihan,” katanya sambil memuji penganjuran JER yang banyak membantu orang ramai menampung kos sara hidup.









