SHAH ALAM, 29 MAC: Peserta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) kelahiran Januari, Februari dan Mac di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran diingatkan untuk menuntut baucar sebelum 31 Mac ini.
Wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee khuatir mereka terlepas manfaat susulan semakan pihaknya mendapati masih ramai peserta kedua-dua skim berkenaan belum menuntut dan menebus baucar.
“Masih terdapat ramai penerima yang belum menuntut baucar mereka iaitu seramai 152 orang bagi kelahiran Januari diikuti 153 orang (Februari) dan 198 orang (Mac). Kesemua mereka boleh menebus di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pandamaran sebelum 31 Mac ini.
“Sila semak status ahli keluarga warga emas anda atau sebarkan maklumat ini kepada rakan taulan yang terlibat. Jangan lepaskan peluang untuk menuntut manfaat yang disediakan oleh Kerajaan Selangor ini,” katanya menerusi Facebook.
Tahun ini, Kerajaan Negeri meneruskan pelaksanaan kedua-dua skim tersebut bagi memastikan kebajikan golongan warga emas dan OKU terus terbela.
Sebelum ini, pembayaran khairat kematian melalui SMUE pernah dihentikan pada Mei 2019 dan disambung semula pada 2021 dengan peruntukan RM7.5 juta bagi membolehkan waris layak menerima bantuan sebanyak RM500.








