Pesara rugi lebih RM330,000 ditipu skim pelaburan palsu

29 Mac 2026, 3:04 AM
Pesara rugi lebih RM330,000 ditipu skim pelaburan palsu

SHAH ALAM, 29 MAC: Seorang pesara berusia 61 tahun mengalami kerugian RM337,457 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan tidak wujud yang diiklan di Facebook.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman, berkata mangsa tertarik dengan iklan satu pelaburan yang dilihat di laman media sosial tersebut pada 29 Januari lalu.

Beliau berkata pelaburan itu kononnya menawarkan pulangan keuntungan sehingga RM14,000 dengan pelaburan serendah RM300.

"Mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon tempatan dan diarahkan untuk membuat beberapa transaksi kewangan.

"Bermula dari 30 Januari hingga 9 Mac lalu, mangsa melakukan sebanyak 38 transaksi pindahan wang kepada 16 akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM337,457.

"Sepanjang tempoh itu, segala urusan berkaitan pelaburan termasuk keuntungan hanya dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp tanpa sebarang platform pelaburan yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, mangsa hanya menerima satu bayaran berjumlah RM392.11 sebelum diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM210,500 kononnya sebagai caj pengeluaran keuntungan.

Katanya, mangsa yang mula berasa curiga kemudiannya tampil membuat laporan polis.

"Siasatan mendapati sumber kewangan mangsa daripada wang simpanan serta hasil gadaian barang kemas. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata masyarakat diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

"Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.