SUBANG JAYA, 29 MAC: Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan aktiviti luar jika suhu melebihi 35 darjah Celsius dilihat tepat demi melindungi keselamatan pelajar.
Ibu bapa yang ditemui bimbang cuaca panas melampau boleh menjejaskan kesihatan termasuk meningkatkan risiko strok haba, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Fadlina Moctader, 45, berkata sekolah anaknya djadualkan mengadakan sukan tahunan pada April dan berharap penganjurannya ditunda jika cuaca panas berterusan.

“Sebarang aktiviti luar dalam tempoh yang lama perlu ditunda ke waktu yang lebih sesuai. Sudah tentu kami sebagai ibu bapa bimbang.
“Saya juga akan mengingatkan anak-anak supaya kerap minum air kosong secukupnya demi menjaga kesihatan,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Ashok Sivaji, 49, yang juga bekas pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), berharap pihak sekolah mengambil langkah proaktif dengan menangguhkan semua aktiviti luar buat sementara waktu.

“Ketika saya masih memegang jawatan sebagai pengerusi sehingga Februari lalu, PIBG pernah memohon kelonggaran kepada pelajar untuk memakai pakaian sukan ke sekolah dan pihak pentadbiran telah memberi kebenaran.
“Justeru, saya berharap aktiviti sukan ditangguhkan buat masa ini. Pada masa sama, pihak sekolah juga telah memasang penapis air bagi memudahkan pelajar mendapatkan air tanpa perlu membeli di kantin,” katanya.
Bagi Noraini Muhammad, 44, beliau turut menyokong saranan kementerian agar aktiviti luar ditangguhkan demi kesejahteraan pelajar.

“Pelajar sekolah menengah mungkin mampu menjaga diri, namun murid sekolah rendah memerlukan perhatian lebih dalam situasi cuaca panas.
“Saya juga berharap ibu bapa memastikan anak-anak membawa bekalan air kosong ke sekolah dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pihak sekolah,” ujarnya.
Pada Rabu, KPM mengarahkan semua institusi pendidikan bawahnya diarah menangguhkan aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah Celsius bagi mengelakkan kejadian tidak diingini ketika negara dilanda musim panas ketika ini
KPM turut mengarahkan pengurusan institusi pendidikan bawahnya memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
Pihak pengurusan sekolah juga boleh mempertimbangkan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas, bergantung kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing.








