SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri berhasrat menerbitkan lagi iklan pada sambutan Aidilfitri tahun depan susulan penerimaan positif pelbagai pihak terhadap ‘Geng Senteng Raya’.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata penerbitan iklan juga tidak memerlukan tempoh lama serta mudah untuk menyampaikan mesej dan difahami.
“Meski iklan ‘Geng Senteng Raya’ itu berkonsep santai namun berjaya menyampaikan mesej perpaduan antara rakyat berbilang kaum di negeri ini.
“Awal musim perayaan ini, orang tidak lihat televisyen dalam tempoh lama. Jadi memadai iklan dengan tempoh lima minit ini. Boleh juga tonton di Youtube atau media sosial. Jadi iklan tahun ini memang dapat sambutan,” katanya kepada Media Selangor.

Tahun ini, buat julung kalinya Selangor tampil membawa mesej perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Selangor menerusi iklan Aidilfitri ‘Geng Senteng Raya’.
Ikan tersebut mengisahkan sebuah keluarga yang berdepan cabaran menjelang Syawal sebelum menerima bantuan jiran terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Cina dan India.
Ia menampilkan barisan pelakon seperti Raja Azura dan Rusdi Ramli selain penampilan khas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan penggambaran dijalankan di Teratak Shah Bonda, Kampung Batu Laut di Kuala Langat.
Iklan itu ditayangkan menerusi plaform rasmi Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta di semua platform Media Selangor.











