SHAH ALAM, 15 MAC: Kerajaan Negeri tampil membawa mesej perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Selangor menerusi iklan Aidilfitri bertajuk ‘Geng Senteng Raya’.
Berbeza dengan iklan sebelum ini, karya berkenaan tampil lebih ringkas dan santai namun sarat dengan mesej menyentuh hati, sesuai ditonton seluruh lapisan masyarakat.
Iklan tersebut mengisahkan sebuah keluarga yang berdepan cabaran menjelang Syawal sebelum menerima bantuan jiran terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Cina dan India.
Budaya tolong-menolong yang dipaparkan turut mencerminkan nilai kerjasama serta semangat perpaduan yang menjadi amalan masyarakat, khususnya di Selangor.
Selain itu, pendekatan yang lebih segar dan dekat dengan kehidupan masyarakat menjadikan mesej yang disampaikan lebih menarik, menghiburkan dan bermakna.
Iklan berkenaan menampilkan barisan pelakon seperti Raja Azura dan Rusdi Ramli selain penampilan khas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah.
Penggambaran dijalankan di Teratak Shah Bonda, Kampung Batu Laut di Kuala Langat.
Iklan itu akan ditayangkan menerusi platform rasmi Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta di semua platform Media Selangor menjelang Aidilfitri.








