SHAH ALAM, 27 MAC: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menaja pasukan ragbi dan memanah mewakili negeri di kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, Ogos ini.
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor berkata setiap pasukan itu akan menerima sumbangan RM100,000 bagi urusan latihan sekali gus bakal membantu Selangor meraih pingat.
“Insya-Allah kita akan bantu dua pasukan ini seperti biasa. Tahun lalu kita turut sumbangkan jumlah sama sebagai usaha menyokong pasukan berkenaan.
“Secara umumnya, MBI sendiri akan terlibat secara langsung dalam kejohanan dwitahunan ini. Kita akan pastikan Selangor mampu meraih banyak pingat,” katanya kepada Media Selangor.

Pada Februari, pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor berkata negeri menyasarkan kutipan kira-kira 80 pingat emas pada kejohanan SUKMA 2026 yang berlangsung Ogos depan.
Mohamad Nizam Marjugi berkata atlet negeri ini disasar muncul juara dalam 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan 474 acara dipertandingkan melibatkan 37 jenis sukan.
Pada temasya SUKMA 2024 di Sarawak, Selangor berjaya melepasi sasaran menduduki tempat tiga teratas dengan kutipan 181 pingat iaitu 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa.
SUKMA ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan upacara perasmian di Litar Antarabangsa Sepang, manakala Para SUKMA pula berlangsung dari 15 hingga 20 September 2026.
Sebanyak 10 sukan dipertandingkan bagi Para SUKMA iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.












