Elak spekulasi isu tapak Kuil Sri Maha Mariamman Seafield - EXCO

26 Mac 2026, 7:58 AM
Elak spekulasi isu tapak Kuil Sri Maha Mariamman Seafield - EXCO

SHAH ALAM, 24 MAC: Semua pihak diminta tidak membuat spekulasi berhubung isu tapak Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya yang kini di peringkat akhir penyelesaian oleh Kerajaan Negeri.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS), V Papparaidu berkata tapak berkenaan sah untuk tujuan keagamaan dan sebarang spekulasi boleh menjejaskan proses penyelesaian yang sedang berjalan.

“Perkara ini berada dalam fasa akhir sebelum diputuskan secara rasmi oleh Kerajaan Negeri. Justeru, saya menyeru semua pihak tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi yang bercanggah dengan fakta tersebut.

“Kenyataan atau spekulasi tidak tepat boleh menjejaskan proses penyelesaian yang sedang berjalan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Papparaidu yang juga EXCO Pembasmian Kemiskinan berkata beliau bertanggungjawab serta terbuka untuk memberikan penjelasan kepada mana-mana pihak berhubung perkara berkenaan.

Pada awal Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk pembangkang supaya mematuhi ketetapan berhubung pembinaan rumah ibadat seperti yang digariskan kerajaan persekutuan.

Menurutnya, pihak Kerajaan Negeri perlu mengetepikan perbezaan politik bagi memastikan isu pembinaan rumah ibadat ditangani mengikut dasar yang jelas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.