SHAH ALAM, 25 MAC: Sebanyak 18 kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan cuaca panas Tahap 1 (Berjaga-Jaga) setakat jam 4 petang tadi.
Pasir Mas di Kelantan dan Segamat di Johor dikenal pasti sebagai lokasi terbaharu yang dimasukkan dalam senarai kawasan yang mengalami cuaca panas pada tahap berkenaan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan lain yang turut berada pada Tahap 1 termasuk Perlis serta beberapa daerah di Kedah iaitu Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
Turut terlibat kawasan Timur Laut dan Utara di Pulau Pinang, selain beberapa daerah di Perak seperti Hulu Perak, Selama, Kinta, Kuala Kangsar dan Perak Tengah, serta Jerantut di Pahang.
Dalam perkembangan sama, tiga kawasan di Kedah iaitu Pokok Sena, Pendang dan Baling mencatatkan Tahap 2 (Gelombang Haba).
"Tahap Gelombang Haba merujuk suhu harian mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
"Tahap Berjaga-Jaga pula melibatkan suhu harian melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius dalam tempoh yang sama," katanya.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini berhubung status cuaca panas melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia serta mengambil langkah bagi mengelakkan kesan kesihatan akibat cuaca panas.







