SHAH ALAM, 23 MAC: Pendaftaran Kelas Asas Bahasa 2026 di bawah program Language Discovery@Selangor Library bagi sesi pengambilan keempat kini dibuka kepada orang ramai.
Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor memaklumkan kelas yang ditawarkan adalah percuma kepada warga Selangor hasil subsidi Kerajaan Negeri.
“Antara bahasa yang ditawarkan adalah Bahasa Inggeris, Arab, Jerman, Perancis dan Mandarin. Keutamaan diberikan kepada mereka yang telah berjaya mendaftar akaun Language Discovery sebelum ini,” katanya di Facebook.
Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan www.ppas.gov.my/language_discovery dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi di talian 016-206 4264 atau 011-5879 1664.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya menawarkan kelas bahasa asing secara dalam talian dan percuma bermula tahun ini sebagai langkah memperkukuh kemahiran pelbagai bahasa dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari pendekatan itu membuktikan keyakinan Kerajaan Negeri bahawa bahasa adalah kekuatan yang membolehkan Malaysia bersaing di peringkat global, bukan punca perpecahan.
Berikutan itu, minggu lalu beliau mengumumkan insentif khas berjumlah RM500,000 bagi melaksana program terbabit.








