SHAH ALAM, 22 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan satu kawasan di Semenanjung dikenal pasti berada pada Tahap 2 (gelombang haba) setakat 6 pagi tadi.
Menurut kenyataan agensi itu, kawasan terlibat ialah Padang Terap, Kedah dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Selain itu, sebanyak 12 kawasan lain berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga), melibatkan Perlis; Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu di Kedah; Timur Laut, Pulau Pinang; Hulu Perak, Perak; serta Rembau, Negeri Sembilan.
MetMalaysia menjelaskan tahap berjaga-jaga merujuk kepada suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia.









