Sambutan Ugadi bukti komitmen Selangor pelihara kepelbagaian budaya

21 Mac 2026, 12:39 AM
Sambutan Ugadi bukti komitmen Selangor pelihara kepelbagaian budaya

SHAH ALAM, 21 MAC: Selangor mencipta sejarah apabila sambutan Tahun Baharu Telugu (Ugadi) dianjurkan buat julung kali di peringkat negeri bagi mengangkat warisan budaya dan memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata penganjuran itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memelihara kepelbagaian budaya sebagai asas keharmonian.

Dalam pada itu, Papparaidu turut merakamkan penghargaan kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari atas sokongan dalam menjayakan sambutan berkenaan.

“Saya amat berterima kasih atas keprihatinan dan sokongan Dato’ Menteri Besar dalam memastikan sambutan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Perayaan ini mencerminkan kekayaan budaya yang menjadi asas kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut beliau, Ugadi merupakan perayaan penting bagi masyarakat Telugu yang diraikan sebagai simbol permulaan baharu serta peluang memperbaharui azam ke arah kehidupan yang lebih baik.

Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran orang ramai, khususnya masyarakat Telugu, dalam suasana penuh harmoni dan muhibah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.