PUTRAJAYA, 20 MAC: Dua lelaki maut manakala empat lagi cedera parah dalam kemalangan yang berlaku di Presint 1 menghala ke Taman Wetland, Presint 12, di sini tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya PgB M Haziq Hazmi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada 11.58 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 14 bersama pasukan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi pada 12.07 tengah hari, pasukan mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga telah terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di tepi jalan, dengan beberapa mangsa tercampak keluar dari kenderaan akibat impak kemalangan.
"Enam mangsa terlibat dalam kejadian tersebut dan dua lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya menerusi hantaran Facebook Bomba Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini.
Beliau berkata empat mangsa lain telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut menggunakan jentera EMRS dan pasukan bomba telah menjalankan operasi pengasingan mangsa serta kerja pembersihan di lokasi termasuk memotong pokok menggunakan peralatan khas bagi memastikan laluan selamat sepenuhnya.
Operasi melibatkan tujuh anggota bersama satu jentera LFRT dan satu unit EMRS dari BBP Presint 14.
Turut berada di lokasi adalah pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan KKM.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa yang mengesahkan kemalangan itu berkata siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu dipercayai hilang kawalan ketika berada di lorong kanan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar sebatang pokok.
“Akibat kemalangan itu, dua penumpang lelaki tempatan berusia lingkungan lewat belasan hingga awal 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.
“Pemandu dan beberapa penumpang lain yang juga lelaki tempatan mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Putrajaya. Keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Zamzuri berkata siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup bagi membantu siasatan.
Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Putrajaya di talian 03 - 8886 2138 atau mana-mana balai polis berhampiran.








