Aidilfitri: Orang ramai diseru guna tenaga, air secara cekap dan berhemah - PETRA

20 Mac 2026, 7:06 AM
Aidilfitri: Orang ramai diseru guna tenaga, air secara cekap dan berhemah - PETRA
Aidilfitri: Orang ramai diseru guna tenaga, air secara cekap dan berhemah - PETRA

SHAH ALAM, 20 MAC: Orang ramai dinasihatkan menggunakan tenaga dan air secara cekap serta berhemah, terutama semasa musim perayaan Aidilfitri yang biasanya menyaksikan peningkatan penggunaan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga serta Transformasi Air (PETRA) penggunaan elektrik rumah dijangka meningkat antara 20 hingga 40 peratus berbanding biasa.

Menerusi kenyataan hari ini, Datuk Amar Fadillah Yusof menambah penggunaan air pula dijangka naik antara 30 hingga 35 peratus di negeri tumpuan perantau pulang berhari raya.

Sehubungan itu, PETRA menyarankan langkah-langkah mudah penjimatan tenaga elektrik:

  • Matikan lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan

  • Elakkan peralatan berada dalam mod sedia

  • Tetapkan suhu penyaman udara (24-26 darjah Celsius)

  • Gunakan peralatan elektrik berpenarafan 4 atau 5 bintang

Bagi penggunaan air, beberapa langkah penjimatan dicadangkan:

  • Baiki kebocoran paip dalaman dengan segera

  • Gunakan sumber air alternatif seperti tadahan air hujan

  • Gunakan air pada kadar sewajarnya

  • Basuh pakaian hanya apabila muatan penuh

  • Tutup pili dengan rapat selepas guna

  • Guna semula air tidak tercemar untuk siram pokok atau cuci lantai

  • Pilih produk berlabel Cekap Air dua atau tiga bintang.

PETRA turut menekankan keselamatan elektrik semasa perayaan, termasuk:

  • Pastikan pendawaian elektrik selamat dan menguji Peranti Arus Baki (RCD) sekali sebulan

  • Elak guna wayar atau kelengkapan elektrik yang koyak atau terdedah

  • Jangan membebani soket dengan kelengkapan elektrik berlebihan atau berkuasa tinggi

  • Gunakan lampu hiasan berlabel keselamatan ST-SIRIM

  • Matikan suis kelengkapan yang tidak digunakan

  • Elak gantung perhiasan perayaan pada tiang elektrik

  • Jangan guna telefon bimbit semasa dicas.

Menurut Datuk Amar, usaha ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan kesejahteraan rakyat, kemampanan serta tadbir urus yang baik dalam pengurusan sumber tenaga dan air.

“Rakyat bukan sahaja dapat menyambut perayaan dengan lebih selamat dan tenang bersama keluarga, malah turut menyokong agenda negara dalam memastikan kelangsungan sumber tenaga dan air yang mampan, berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan pembangunan negara pada masa hadapan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.