SHAH ALAM, 12 JUN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mempergiat operasi penguatkuasaan dengan mengambil tindakan terhadap dua aktiviti perniagaan tanpa lesen yang dipercayai dikendalikan warga asing di sekitar kawasan pentadbirannya.
MBSJ memaklumkan tindakan pertama melibatkan aktiviti penjajaan tanpa kebenaran di bahu Jalan USJ 4, Subang Jaya yang menjual air kelapa menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, hasil pemeriksaan mendapati aktiviti perniagaan berkenaan dijalankan tanpa kebenaran sebelum tindakan sitaan serta-merta dilaksanakan.
Tindakan itu melibatkan sitaan terhadap peralatan, barangan jualan dan kenderaan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti penjajaan berkenaan.
“Kesemua barang sitaan termasuk kenderaan pacuan empat roda terbabit dibawa ke Depoh TP2, Subang Jaya untuk tindakan lanjut.
“Individu terbabit turut diarahkan membersihkan kawasan perniagaan segera serta diberikan amaran agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan,” katanya menerusi Facebook.
Dalam operasi berasingan, MBSJ turut mengambil tindakan terhadap sebuah pusat cucian kereta tanpa lesen di kawasan lapang sekitar Jalan PBS 11, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa kelulusan dan kebenaran MBSJ selain pengusahanya disyaki menggunakan bekalan elektrik melalui sambungan haram dari kediaman berhampiran.
“Sehubungan itu, pengusaha diarahkan menghentikan operasi serta-merta manakala tindakan sitaan turut diambil terhadap peralatan dan barangan yang digunakan bagi menjalankan perniagaan tersebut,” tambahnya.
MBSJ berkata pihaknya akan terus mempergiat penguatkuasaan dan pemantauan bagi membanteras perniagaan tanpa lesen serta memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan komuniti terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi peraturan MBSJ boleh menyalurkan aduan melalui portal rasmi MBSJ, menghubungi Pusat Kawalan Subang Jaya di talian 03-8024 7700 atau Jabatan Penguatkuasaan menerusi WhatsApp di talian 019-220 7823.









