SHAH ALAM, 18 MAC: Seramai lima warga emas dari Rumah Seri Kenanga di Cheras menerima sumbangan wang saku RM1,500 sebagai perbelanjaan menunaikan umrah.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata perjalanan ibadah jemaah itu mendapat tajaan syarikat pengendali umrah Andalusia Travel & Tours.
“Kita berbesar hari untuk menyumbang wang belanja kerana mereka ini warga emas sebatang kara, tinggal di rumah orang tua.
“Jadi bila dapat ke Mekah, ini satu peluang yang sangat besar, tak disangka-sangka. Semoga mereka dapat gunakan wang untuk beli barangan keperluan semasa berada di tanah suci,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.
Beliau berkata semua mereka berangkat ke tanah suci semalam dan akan menyambut Aidilfitri di sana.
“Semoga kelima-lima jemaah ini mendapat umrah yang mabrur dan dipermudahkan sepanjang beribadah di sana,” katanya.
Tahun ini, Kerajaan Negeri meneruskan pelaksanaan Insentif Haji Muassasah dengan menyumbang RM1,500 kepada 6,000 bakal jemaah haji melibatkan peruntukan keseluruhan RM9 juta.
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut meluluskan tajaan penuh bagi 75 jemaah Selangor yang bakal menunaikan ibadah haji pada tahun ini dengan kos sebanyak RM1.2 juta.
Jumlah itu meningkat sebanyak 29 orang berbanding 46 jemaah yang menerima manfaat sama pada tahun lalu.








