MELAKA, 17 MAC: Polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai memukul isterinya yang sedang hamil dalam kejadian di sebuah pusat karaoke di Kota Shahbandar di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada 1.17 pagi semalam, selepas mendapati anaknya berusia 20 tahun tiada di rumah dan gagal dihubungi.
"Pengadu mendapati pintu belakang rumah dipercayai dibuka secara paksa dan ibu mangsa kemudian menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan mangsa diperlakukan secara kasar oleh suspek yang juga suaminya berusia 22 tahun di pusat karoake berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa dibawa ke Hospital Melaka oleh ambulans pada 4.41 pagi selepas cedera dalam kejadian di pusat karaoke dan menerima rawatan di zon merah.
"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala dan pipi kanan akibat dipukul,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata berdasarkan rakaman CCTV, suspek dipercayai memukul, melempang, menarik rambut serta melanggar kepala mangsa yang sedang terbaring menggunakan motosikal.
Beliau berkata selepas menerima rawatan, mangsa dibawa pulang ke rumah oleh ibunya, namun mangsa dipercayai telah keluar bersama anak lelakinya berusia dua tahun mengikut suspek.
“Pengadu gagal menghubungi mangsa sehingga kini dan bimbang terhadap keselamatan mangsa serta anaknya itu.
"Setakat ini, belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.
Sebelum ini, rakaman CCTV dipercayai berkaitan kejadian tersebut tular di media sosial.
- BERNAMA








