KUALA LANGAT, 17 MAC: Konflik di Asia Barat antara Iran dengan Israel dan Amerika Syarikat setakat ini belum memberi kesan langsung kepada sektor hartanah di Selangor.
EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata pihaknya belum menerima sebarang aduan daripada pemaju berhubung perkara itu.
“Setakat ini kita belum ada lagi menerima apa-apa aduan daripada pemaju,” katanya kepada Media Selangor pada Program Bingkisan Hari Raya 2026 DUN Tanjong Sepat di Dewan Kebudayaan Pantai Batu Laut di sini hari ini.
Menurutnya, projek pembangunan di negeri ini masih berjalan seperti biasa dan permintaan terhadap hartanah kekal stabil.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak konflik berkenaan boleh memberi kesan sekiranya berlarutan termasuk kemungkinan kenaikan harga minyak yang mempengaruhi kos ekonomi.
“Kalau berlarutan, ia akan ada kesan global ekonomi bukan sekadar di rantau Asia sahaja, melibatkan seluruh dunia,” katanya.











