SHAH ALAM, 17 MAC: Seramai 542 anggota dan pegawai polis negeri ini bertugas sepanjang Aidilfitri bagi menjayakan Op Selamat 26 dan Op Lancar.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata penugasan itu turut diperkukuhkan dengan aset logistik, termasuk 70 Unit Kereta Peronda (MPV) dan 148 Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
Beliau berkata, pemantauan rapi akan dilaksanakan di 23 lokasi strategik merangkumi 16 daerah bagi penguatkuasaan had laju selain tumpuan khusus diberikan di 53 lokasi hotspot dan 34 lokasi blackspot yang telah dikenal pasti di Selangor.
"Kita juga sudah mengambil langkah proaktif dengan mengatur gerak Op Lancar lebih awal iaitu bermula 18 hingga 29 Mac ini bagi mengawal selia titik kesesakan utama di seluruh Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri di Plaza Tol PJS 2 di Petaling Jaya semalam.
Shazeli turut mengingatkan pemandu kenderaan barangan mengenai larangan pemanduan sempena hari perayaan yang dikuatkuasakan pada 19 dan 20 Mac serta 28 dan 29 Mac 2026.
Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan atau ingin menyalurkan laporan trafik boleh hubungi Bilik Gerakan JSPT Selangor di talian 03-5510 0559 atau CCC Selangor 03-5514 5206.









