Dua maut, seorang parah jatuh skylift ketika selenggara pangsapuri

17 Mac 2026, 5:55 AM
Dua maut, seorang parah jatuh skylift ketika selenggara pangsapuri

KUALA LUMPUR: Kerja penyelenggaraan bertukar tragedi apabila dua lelaki maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas terjatuh daripada jentera skylift di sebuah pangsapuri di Subang Jaya, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu dilaporkan orang awam melalui talian kecemasan MERS 999 sebelum sepasukan polis dari Balai Polis USJ 8 dikejarkan ke lokasi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pemeriksaan awal mendapati tiga mangsa ditemui terbaring di kawasan pintu masuk apartmen berkenaan.

"Dua daripada mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa cedera kepala dan dada," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang maut mengalami kecederaan serius di kepala serta beberapa anggota badan.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga mangsa yang juga warga asing berusia antara 38 hingga 46 tahun menjalankan kerja penyelenggaraan di tingkat lima menggunakan jentera skylift.

"Ketika kejadian cuaca dilaporkan hujan lebat," katanya.

Beliau memaklumkan siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk tujuan bedah siasat dan seorang lagi mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam berhubung kejadian itu.

"Mereka yang ada maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Subang Jaya di talian 03-78627222 atau 03-78627100 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.