SELAYANG, 16 MAC: Persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini dilihat lebih sederhana dalam kalangan orang ramai yang memilih berjimat cermat bagi mengelakkan pembaziran ketika berbelanja keperluan perayaan.
Tinjauan Media Selangor mendapati kebanyakan keluarga mula membuat persiapan lebih awal bagi memastikan urusan pembelian barangan keperluan lebih teratur selain membantu mengawal perbelanjaan.
Bagi penduduk Kampung Melayu Seri Gombak, Zaida Mail, 56, persiapan raya tahun ini dilakukan secara sederhana tanpa membeli pakaian atau barangan baharu kerana pakaian lama masih elok digunakan.

Katanya, keadaan ekonomi semasa serta kenaikan harga barangan mendorong beliau untuk lebih berjimat dengan memasak sendiri selain menyediakan kuih raya di rumah.
“Persiapan raya sangat sederhana. Saya tak beli yang baharu, pakai sahaja yang lama. Untuk makanan pula beli sedikit sahaja, termasuk barangan sejuk beku di pasar jualan murah,” katanya.
Beliau ditemui di Program Jualan Agro MADANI (JAM) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, hari ini.
Dalam masa sama, Zaida turut bersyukur dengan pengumuman cuti tambahan sempena Aidilfitri yang memberi peluang untuk meluangkan masa lebih lama bersama tiga anak dan dua cucunya.

Sementara itu, Mohamad Nur Lizwan Ishak, 28, dari Rawang berkata beliau membuat persiapan lebih awal bagi mengawal perbelanjaan dan peluang berbelanja di program jualan murah banyak membantu mengurangkan kos persiapan raya.
“Saya beli barang dan baju raya lebih awal. Banyak tempat buat jualan murah dengan harga berpatutan. Di Rawang ada Jualan Ehsan Rahmah (JER) dan hari ini ada Jualan Agro Madani di Taman Templer,” katanya.
Menurut beliau, pengumuman cuti tambahan juga memberi ruang untuk merancang perjalanan pulang berhari raya selain mengelakkan kesesakan jalan raya.
Warga emas, Ani Mahmood, 69, berkata persiapan raya dibuat sekadar mampu melalui bantuan zakat sebagai asnaf yang banyak membantu membeli barangan keperluan untuk Aidilfitri.
“Persiapan buat sekadar mampu. Saya guna duit zakat untuk beli barang keperluan raya,” jelasnya yang berasal dari Kampung Selayang Pandang.

Ani turut menzahirkan rasa syukur dengan pengumuman cuti tambahan yang memudahkan perancangan sambutan Aidilfitri dengan tempoh cuti lebih panjang memberi peluang untuk meluangkan masa bersama dua anaknya yang menetap di Johor dan Pulau Pinang.
Semlam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cuti am tambahan sehari sempena Aidilfitri sama ada pada Jumaat depan atau Isnin berikutnya.
Beliau berkata, cuti pada 23 Mac (Isnin) diberikan jika 1 Syawal jatuh pada 20 Mac (Jumaat) depan, manakala cuti sehari lebih awal iaitu pada 20 Mac jika 1 Syawal disambut pada Sabtu depan (21 Mac).










