KUALA LUMPUR, 27 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini berada pada tahap kesiapsiagaan 95 peratus bagi menjadi tuan rumah lima acara Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, termasuk menyediakan kemudahan terbaik untuk atlet dan penonton.
Datuk Bandarnya, Dato' Mohamad Zahri Samingon berkata pihaknya yakin mampu memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan hasil komitmen serta kerjasama seluruh warga kerja MBPJ.
“Antara venue utama yang akan digunakan ialah Stadium Hoki Petaling Jaya yang kini bertaraf A dan memenuhi piawaian penganjuran kejohanan termasuk dari aspek fasiliti, keselamatan serta keselesaan atlet dan penonton sepanjang temasya berlangsung.
“Bagi memastikan venue benar-benar bersedia, MBPJ akan menganjurkan Kejohanan Piala Hoki Datuk Bandar minggu ini sebagai acara ujian sebelum temasya SUKMA berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Media Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2026 di M Resort dan Hotel di sini, semalam.
Mohamad Zahri berkata, MBPJ turut dipertanggungjawabkan untuk memeriahkan penganjuran SUKMA dengan menggerakkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kehadiran penyokong di venue pertandingan.
Katanya, kemudahan bas dan van disediakan bagi memudahkan pergerakan penonton ke lokasi acara selain kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) serta institusi pengajian tinggi bagi menggalakkan pelajar hadir memberi sokongan kepada atlet.
Selain Stadium Hoki Petaling Jaya, beberapa venue lain di Petaling Jaya turut digunakan bagi penganjuran temasya itu termasuk Kompleks Sukan Astaka MBPJ, Xtreme Park MBPJ, Kompleks Sukan Kelana Jaya, Kompleks Sukan PKNS dan Stadium MBPJ.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos manakala PARA SUKMA 2026 akan diadakan pada 5 hingga 14 September dengan 469 acara bagi 37 jenis sukan selain 316 acara bagi PARA SUKMA.







