Kontinjen Selangor sedia sepenuhnya hadapi SUKMA 2026

26 Jul 2026, 7:31 AM
Kontinjen Selangor sedia sepenuhnya hadapi SUKMA 2026

SHAH ALAM, 26 JULAI: Kontinjen Selangor bersedia sepenuhnya menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, dengan segala persiapan kini berjalan lancar.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata latihan atlet, pengurusan pasukan serta penyelarasan logistik berjalan lancar bagi memastikan kontinjen tuan rumah tampil dengan prestasi terbaik pada temasya itu, lapor RTM.

“Alhamdulillah, di setiap PBT yang kita kunjungi, segala persiapan infrastruktur yang akan kita gunakan berada dalam keadaan baik dan cukup sempurna, bukan sahaja untuk SUKMA tetapi juga bagi kejohanan lain yang boleh menggunakan kemudahan tersebut.

“Di setiap PBT, kemudahan yang kita naik taraf ini bukan sekadar untuk persiapan SUKMA semata-mata, tetapi selepas ini orang awam juga boleh menggunakan dan memanfaatkan kemudahan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Jelajah Larian Obor SUKMA 2026 di Dataran Petaling Jaya yang disertai kira-kira 800 peserta.

Pada majlis itu, obor SUKMA diserahkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai simbol kesinambungan jelajah yang melibatkan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Sementara itu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata lima fasiliti sukan milik MBPJ dipilih sebagai venue bagi beberapa acara SUKMA Selangor 2026.

Menurutnya, ia termasuk Stadium Bola Sepak, Stadium Hoki, Kompleks Sukan Astaka bagi acara skuasy, Kompleks Kelana Jaya (tenis) serta Kompleks Arena (BMX).

“MBPJ mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memilih Petaling Jaya sebagai lima venue Utama.

“Persiapan kita kini cukup bersedia untuk menyambut tetamu dan atlet bagi tujuan SUKMA 2026,” katanya.

SUKMA 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos manakala PARA SUKMA 2026 diadakan pada 5 hingga 14 September.

Temasya tersebut mempertanding sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan manakala Para SUKMA melibatkan 316 acara merangkumi 10 jenis sukan.

Dataran Kemerdekaan Shah Alam dipilih sebagai lokasi majlis pembukaan SUKMA 2026 yang dijangka berlangsung secara sederhana tetapi meriah.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.