FAMA anjur jualan Semarak Syawal di 722 pasar tani seluruh negara

15 Mac 2026, 4:05 AM
FAMA anjur jualan Semarak Syawal di 722 pasar tani seluruh negara
FAMA anjur jualan Semarak Syawal di 722 pasar tani seluruh negara

SHAH ALAM, 15 MAC: Sebanyak 722 pasar tani di seluruh negara mengadakan jualan Semarak Syawal bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan menjelang Aidilfitri.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri berkata program tahunan itu menawarkan penjimatan harga berpatutan dan produk segar terus daripada pengeluar.

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri bercakap kepada media ketika hadir dalam Pelancaran Semarak Syawal peringkat Selangor di Pasar Tani Stadium Shah Alam pada 15 Mac 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Program ini bertujuan mengurangkan kos belanja harian rakyat. Sepanjang tempoh penganjuran, kami menjangkakan nilai jualan mencecah RM40 juta.

"Semua peniaga termasuk usahawan kilang digerakkan, tetapi fokus utama adalah persiapan Syawal, termasuk gerai menjual kuih raya, kerepek, dan keperluan barangan basah untuk juadah pagi raya," katanya.

Berucap pada majlis pelancaran Semarak Syawal 1447@Pasar Tani Peringkat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pasar Tani Stadium Shah Alam hari ini, Abdul Rashid berkata sebanyak 48 pasar tani di Selangor terlibat dalam program itu.

Dengan sasaran jualan sebanyak RM2.7 juta, beliau menekankan harga yang ditawarkan berpatutan dan lebih murah, selain promosi khas pada waktu-waktu tertentu bagi menarik pembeli.

Sempena Aidilfitri ini juga, kerajaan menyenaraikan 27 barangan keperluan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bermula semalam hingga 28 Mac depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelaksanaan SHMMP Aidilfitri tahun ini menunjukkan trend harga yang lebih stabil berbanding tahun sebelumnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.