MBSA antara PBT terawal peroleh pensijilan ESG SIRIM

14 Mac 2026, 10:30 AM
MBSA antara PBT terawal peroleh pensijilan ESG SIRIM

SHAH ALAM, 14 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi antara pihak berkuasa tempatan (PBT) terawal di negara ini memperoleh pensijilan SIRIM MS 55:2023 berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Pensijilan tersebut meliputi sistem pengurusan ESG bagi perkhidmatan PBT termasuk pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, tadbir urus korporat, pengurusan sumber manusia serta tanggungjawab sosial korporat dan perhubungan awam.

MBSA memaklumkan pengiktirafan itu diperoleh hasil audit pensijilan peringkat kedua yang dilaksanakan pada 22 hingga 23 Disember 2025.

Menurutnya, audit tersebut mendapati tiada Non-Conformity Report (NCR) direkodkan dan sistem ESG MBSA mematuhi sepenuhnya keperluan standard yang ditetapkan.

“MBSA seterusnya menerima pensijilan penuh tanpa syarat serta menjadi antara PBT terawal dipersijilkan ESG,” menurut kenyataan di Facebook, hari ini.

Sijil berkenaan disampaikan Pengurus Besar Jabatan Pensijilan Sistem Pengurusan SIRIM QAS International Sdn Bhd, Wan Shahima Mior Ahmed Shahimi kepada Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Zabidah Safar.

Penyerahan itu berlangsung sempena Perhimpunan Bulanan MBSA Kali Kedua (2/2026) di Auditorium Wisma MBSA pada 13 Mac lalu.

“Pensijilan ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh amalan tadbir urus mampan, berintegriti dan cemerlang demi penyampaian perkhidmatan terbaik kepada warga Shah Alam,” katanya.

Dalam kenyataan sama, MBSA turut merakamkan penghargaan kepada Seksyen Kualiti dan Strategik sebagai penyelaras serta semua jabatan terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan pensijilan berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.