MBSA keluar notis pembangunan, sedia roboh struktur haram Kampung Budiman

29 Jul 2026, 4:00 AM
MBSA keluar notis pembangunan, sedia roboh struktur haram Kampung Budiman

SHAH ALAM, 29 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan notis pembangunan terhadap struktur haram di Kampung Budiman, Setia Alam sebagai langkah awal sebelum tindakan penguatkuasaan dan perobohan dilaksanakan.

Datuk Bandar Shah Alam Dato' Zabidah Safar berkata tindakan itu dibuat susulan perbincangan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), selain pemantauan berkala secara berskala kecil kini digerakkan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan terbabit.

Beliau berkata hasil operasi bersama sekitar jam 11.50 pagi semalam di Kampung Budiman menyaksikan lima PATI ditahan menerusi kerjasama MBSA dan JIM.

Selain itu, katanya, dua lagi lokasi turut dikenal pasti untuk tindakan lanjut.

“Tindakan ini dibuat secara berperingkat. Kita sudah mengeluarkan notis pembangunan dan berharap pemilik merobohkan sendiri struktur yang dibina secara haram sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato' Zabidah Safar ketika Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dewan Perbandaran MBSA pada 28 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Pada masa sama, kita melaksanakan pemantauan berkala bersama JIM bagi mengesan kehadiran PATI. Dalam operasi pagi tadi (semalam), lima PATI ditahan dan kita masih mempunyai dua lagi lokasi yang dikenal pasti untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Penuh MBSA di Wisma MBSA, di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata tiga lot individu terbabit adalah Lot 4062, Lot 4063 dan Lot 4064, dengan notis mengikut Seksyen 72(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 sudah dikeluarkan, manakala proses mengenal pasti semua pemilik bagi pengeluaran notis Seksyen 72(6) sedang dilaksanakan sebelum tempoh notis 30 hari berakhir.

MBSA bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh operasi penguatkuasaan dan perobohan susulan ia membabitkan strategi bersama agensi penguat kuasa termasuk JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) serta jabatan teknikal berkaitan.

Sebelum ini, tular video di aplikasi Thread memaparkan perkampungan PATI warga Indonesia yang berkembang tanpa gangguan JIM di Kampung Budiman, Setia Alam.

Media turut melaporkan lokasi tersebut pernah diserbu dan dikenakan tindakan penguatkuasaan sebelum ini. Bagaimanapun, warga asing dipercayai kembali membuka penempatan baharu berhampiran lokasi asal.

Dalam pada itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengarahkan MBSA mengambil tindakan segera terhadap penempatan haram di Kampung Budiman termasuk perobohan sekiranya didapati struktur terbabit menceroboh tanah kerajaan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.