SHAH ALAM, 27 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merancang memberi fungsi baharu kepada kira-kira 200 pondok bas yang tidak aktif, termasuk menjadikannya kiosk atau gerai.
Datuk Bandarnya, Dato’ Zabidah Safar berkata cadangan itu antara perkara yang dibincangkan dalam Bengkel Penyelarasan dan Pengurusan Pondok Bas pada Julai lalu, susulan terdapat lebih 900 pondok bas di seluruh bandar raya itu.

“Semasa MBSA meluluskan Kebenaran Merancang, kita sudah mensyaratkan penyediaan pondok bas. Namun, selepas pembangunan siap dan penduduk mula berpindah masuk, pengusaha bas mendapati belum ada keperluan untuk melalui kawasan berkenaan.
“Keperluan itu mungkin wujud pada masa akan datang apabila permintaan meningkat. Kita ada lebih 900 pondok bas di Shah Alam dan 200 daripadanya tidak aktif. Kita bercadang menjadikannya gerai, terutama di lokasi yang luas dan sesuai,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat MBSA di sini hari ini.
Menurut Zabidah, kira-kira 700 pondok bas yang lain masih aktif dan mempunyai laluan bas, manakala sebahagian pondok yang tidak aktif turut dicadangkan untuk dijadikan hentian bagi perkhidmatan e-panggilan.
Katanya, MBSA turut menyelaraskan penamaan semua pondok bas bagi memastikan nama yang digunakan dalam sistem Rapid dan aplikasi transit pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah seragam.
“Jika pengguna merujuk pondok bas yang sama, namanya tidak sepatutnya berbeza. Jadi, kita selaraskan penamaan,” katanya.
Beliau berkata usaha itu turut membabitkan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana terdapat pondok bas yang dibina di atas rizab JKR selain jalan milik MBSA.
Dalam masa sama, MBSA mendapatkan pandangan persatuan pengguna pengangkutan awam bagi mengenal pasti ciri dan kemudahan yang diperlukan pengguna.
Zabidah berkata pandangan itu penting bagi memastikan pondok bas yang masih digunakan menyediakan kemudahan lebih selesa, selain membantu menentukan fungsi bersesuaian bagi pondok yang tidak lagi aktif.
“Proses pengemaskinian nama, penyelarasan dan pengkodan pondok bas masih berjalan dan dijangka dimuktamadkan sekitar November ini.
“Penyelarasan ini akan memudahkan urusan pengurusan dan penyelenggaraan, selain membantu pengguna mendapatkan maklumat yang tepat mengenai lokasi pondok bas,” katanya.









