96 jam tanpa henti, Selangor Havoc Raya Fest sasar 1 juta pengunjung

14 Mac 2026, 4:14 AM
96 jam tanpa henti, Selangor Havoc Raya Fest sasar 1 juta pengunjung
96 jam tanpa henti, Selangor Havoc Raya Fest sasar 1 juta pengunjung
96 jam tanpa henti, Selangor Havoc Raya Fest sasar 1 juta pengunjung

SHAH ALAM, 14 MAC: Selangor Havoc Raya Fest 2026 yang berlangsung selama 96 jam tanpa henti dijangka menarik kira-kira 1 juta pengunjung sepanjang festival dari 12 hingga 16 Mac ini.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata sambutan awal daripada peniaga dan pengunjung amat menggalakkan, sekali gus mencerminkan kuasa beli rakyat yang masih kukuh menjelang Aidilfitri.

Jelas beliau, festival yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia City Setia Alam itu menghimpunkan lebih 300 gerai dengan 66 daripadanya menawarkan pelbagai pilihan makanan kepada pengunjung.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang orang ramai mendapatkan barangan persiapan Aidilfitri, malah membantu usahawan tempatan menjana pendapatan melalui platform perniagaan yang lebih luas.

“Berdasarkan sambutan awal dan tarikan pelbagai jenama, kami menyasarkan kehadiran sekitar 1 juta pengunjung sepanjang festival,” katanya.

EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis perasmian festival yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Mohd Najwan turut menjunjung kasih atas keberangkatan baginda mencemar duli merasmikan festival tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran tahun ini menampilkan konsep susun atur gerai yang lebih sistematik dan selesa, memudahkan pergerakan pengunjung serta menyediakan kemudahan parkir yang lebih mudah diakses.

Festival ini turut menghimpunkan pelbagai jenama terkenal, termasuk penyertaan artis tempatan yang mengambil peluang berniaga, sambil menawarkan produk berkualiti tinggi kepada pengunjung.

Acara turut dimeriahkan dengan hadiah cabutan bertuah berjumlah RM50,000 termasuk wang tunai, emas dan motosikal sebagai menghargai pengunjung.

Sepanjang 96 jam penganjuran, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan pentas, penampilan artis dan pempengaruh popular, aktiviti khas kanak-kanak serta program keagamaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.