SHAH ALAM, 5 MAC: Lebih 300 vendor menyertai jualan raya, Selangor HAVOC Raya Fest 2.0 yang berlangsung 96 jam tanpa henti minggu depan.
Penganjurnya, Datuk Firdaus Nazaman berkata jumlah itu meningkat 50 peratus berbanding penyertaan tahun lalu sekali gus bakal menawar pelbagai pilihan kepada pengunjung.
Beliau berkata sebahagian vendor merupakan peniaga Platform Selangor (PLATS) yang menjual keperluan Aidilfitri antaranya baju, songkok dan kuih-muih.
“Seperti tahun lepas, kali ini kita juga utamakan usahawan PLATS untuk bersama-sama berniaga. Ini merupaan perjanjian kita bersama Kerajaan Negeri untuk mempromosi usahawan.
“Peniaga terlibat ini dipilih oleh pentadbiran negeri untuk beri mereka pengalaman bersaing dengan usahawan seluruh negara,” katanya kepada Media Selangor.
Firdaus berkata festival berlangsung mulai 12 hingga 16 Mac itu menawarkan hadiah cabutan bertuah berjumlah RM50,000 termasuk wang tunai, emas dan motosikal sebagai menghargai pengunjung.
Hujung tahun lalu, EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata 1.5 juta pengunjung disasar mengunjungi festival berkenaan yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City Setia Alam.
Sepanjang 96 jam penganjuran, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan pentas, penampilan artis dan pempengaruh popular, aktiviti khas kanak-kanak serta program keagamaan.
Tahun lalu, program sama menarik 1.2 juta pengunjung dengan nilai transaksi mencecah RM10 juta, sekali gus membuktikan potensi besar festival itu sebagai pemacu ekonomi rakyat.












