Disiplin pemakanan bantu Faisal Halim kekal cergas sepanjang Ramadan

14 Mac 2026, 2:36 AM
Disiplin pemakanan bantu Faisal Halim kekal cergas sepanjang Ramadan
Disiplin pemakanan bantu Faisal Halim kekal cergas sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 14 MAC: Ketika kebanyakan orang menantikan waktu berbuka untuk berehat selepas seharian berpuasa, Faisal Halim bersedia bagi sesi latihan malam yang menuntut ketahanan fizikal tinggi.

Sepanjang Ramadan, rutin latihan kapten Selangor FC itu berubah daripada petang kepada lewat malam. Disiplin ditekankan dalam mengurus pemakanan seimbang.

Menurut pemain berusia 27 tahun yang terkenal dengan kepantasan dan keupayaan melakukan gerakan individu, waktu berbuka 'sebenar' baginya hanya bermula selepas latihan berakhir.

Ketika itulah beliau akan mengambil makanan berat dalam kuantiti lebih banyak bagi menggantikan tenaga yang digunakan sepanjang sesi latihan, selain meminum banyak air.

Jelasnya, pengambilan air yang mencukupi penting untuk mengelakkan kekejangan otot berikutan mereka perlu bermain dalam tempoh panjang, sekitar 90 minit bagi setiap perlawanan.

Ketua pasukan Selangor FC Faisal Halim ditemubual oleh pihak media sebelum memulakan sesi latihan pada bulan ramadan di Padang Latihan Selangor FC pada 25 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Dalam bulan Ramadan, waktu sahur sangat penting untuk pemain, ibarat sarapan tetapi lebih awal. Jadi, saya pastikan kuantiti makanan mencukupi untuk menampung tenaga sepanjang hari.

“Biasanya saya makan nasi ketika sahur. Saya tidak ambil makanan ringan. Saya juga makan kurma dan pastikan minum air kosong secukupnya, minuman manis memang saya elakkan,” jelasnya yang turut mengambil makanan tambahan bagi mengekalkan tenaga.

Memandangkan latihan tidak berlangsung pada waktu siang, Faisal atau mesra disapa Mickey menggunakan masa tersebut untuk berehat serta meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Faisal antara pemain paling konsisten dalam saingan Liga Super dan watak penting Selangor FC serta Harimau Malaya berdasarkan kepantasan, ketajaman serangan serta semangat juang tinggi yang dimiliki.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih Gergasi Merah Shahrom Kalam berkata aspek pemakanan pemain dipantau rapi pakar, termasuk sepanjang Ramadan apabila jadual latihan berubah ke waktu malam.

Jelasnya, pakar tersebut akan memberi nasihat serta panduan mengenai jenis makanan yang sesuai diambil, selain memastikan pemain mendapat jumlah air yang mencukupi.

“Pemain sebenarnya biasa dengan situasi ini dan mereka faham tanggungjawab masing-masing ketika berpuasa. Biasanya tiga hari pertama sahaja yang agak mencabar, selepas itu mereka dapat menyesuaikan diri dengan rutin Ramadan.

“Latihan tetap berjalan seperti biasa, cuma bezanya ia diadakan pada waktu malam selepas jam 10. Kalau ada perlawanan pun biasanya dijadualkan lebih lewat. Setakat ini, saya lihat pemain tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.