Ilmu hutan bantu kanak-kanak bina keyakinan, kemahiran ikhtiar hidup

29 Ogos 2026, 1:00 AM
Ilmu hutan bantu kanak-kanak bina keyakinan, kemahiran ikhtiar hidup
Ilmu hutan bantu kanak-kanak bina keyakinan, kemahiran ikhtiar hidup
Ilmu hutan bantu kanak-kanak bina keyakinan, kemahiran ikhtiar hidup
Ilmu hutan bantu kanak-kanak bina keyakinan, kemahiran ikhtiar hidup
Ilmu hutan bantu kanak-kanak bina keyakinan, kemahiran ikhtiar hidup
Ilmu hutan bantu kanak-kanak bina keyakinan, kemahiran ikhtiar hidup

SHAH ALAM, 29 OGOS: Mengenal arah, mengetahui tindakan ketika tersesat hingga menghidupkan api antara kemahiran asas yang boleh didedahkan kepada kanak-kanak seawal usia lima tahun menerusi pembelajaran ilmu hutan.

Pendedahan itu turut membantu kanak-kanak membina keberanian, keyakinan dan kemahiran berdikari.

Penganjur Program Kiddoactiv Forest School Camp, Mohd Amirul Haqim Ahmad Shafiei berkata kesedaran mengenai kepentingan ilmu itu mendorong semakin ramai ibu bapa mendedahkan anak mereka kepada alam semula jadi termasuk kemahiran asas ikhtiar hidup.

“Ilmu hutan bukan sekadar mengajar tentang mengenali tumbuhan, tapi ajar untuk kita yakin diri, bagaimana buat keputusan dan kekal tenang dalam apa-apa situasi,” katanya kepada Media Selangor.

Penganjur Kiddoactiv Forest School, Mohd Amirul Haqim Ahmad Shafie. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Menurut Amirul, aktiviti untuk kanak-kanak perlu disesuaikan mengikut usia dan perkembangan minda mereka supaya proses pembelajaran lebih mudah diterima.

Program kendaliannya itu menyasarkan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun menerusi aktiviti praktikal dan menyeronokkan.

“Paling awal, lima tahun cukup bagus. Kurang daripada itu pun boleh juga tapi kena sesuai modulnya.

"Bila peringkat umur lapan tahun, mereka dah boleh belajar modul mengenal arah dan tanda alam semula jadi,” katanya.

Tersesat, jangan panik

Peserta mencari kayu api ketika program Kiddoactiv Forest School di Acotree Camp Semungkis, Hulu Langat pada 25 Julai 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Amirul berkata pengetahuan mengenai tindakan ketika tersesat perlu didedahkan kepada kanak-kanak terutama apabila mengikuti ibu bapa melakukan aktiviti di kawasan hutan.

“Kebanyakan ibu bapa fikir bila bawa anak ke dalam hutan, mereka rasa selamat sebab ada orang dewasa. Tapi sebenarnya ada ketika mereka mungkin terpisah ataupun terlepas daripada kumpulan. Jadi pentingnya kita bagi kesedaran supaya mereka tidak panik,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak boleh diajar konsep ‘STOP’ iaitu berhenti (Stop), berfikir (Think), memerhati (Observe) dan merancang (Plan) tindakan.

Mereka juga perlu mengetahui asas mencari tempat perlindungan sementara menunggu bantuan selain mengenal pasti kawasan yang perlu dielakkan seperti lokasi terlalu hampir dengan aliran air.

Belajar hidupkan api, masak dalam buluh

Peserta cuba menyalakan api ketika program Kiddoactiv Forest School di Acotree Camp Semungkis, Hulu Langat pada 25 Julai 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Ilmu berkenaan diterapkan menerusi kursus ikhtiar hidup dan cabaran yang merangkumi pelbagai aktiviti praktikal.

“Kursus ikhtiar tu mereka diajar hidupkan api secara primitif guna bahan alami selain belajar cara masak dalam hutan iaitu masak ayam dalam buluh dan cari kayu api.

“Untuk kursus cabaran pula ada aktiviti panjat pokok, luncur tali dan rentas halangan,” jelasnya.

Amirul berkata manfaat ilmu hutan tidak seharusnya dilihat berdasarkan sama ada kemahiran itu akan digunakan pada masa depan, sebaliknya kesannya terhadap perkembangan kanak-kanak.

Menurutnya, aktiviti sedemikian boleh merangsang kemahiran motor dan kognitif selain membina keyakinan serta karakter kanak-kanak.

“Bila kita bagi tugasan, dia boleh lakukan tugasan tersebut, dengar arahan. Lepas itu dia boleh bersosial dengan kawan-kawan. Yang kami nampak sebenarnya adalah kesan jangka masa panjang untuk program macam ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memilih penyedia latihan yang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan pelan tindak balas kecemasan yang sesuai.

Peserta memasak ayam menggunakan buluh ketika program Kiddoactiv Forest School di Acotree Camp Semungkis, Hulu Langat pada 25 Julai 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Belajar secara praktikal lebih berkesan

Mengulas kaedah pembelajaran, Amirul berkata pendekatan praktikal atau pembelajaran berasaskan pengalaman lebih berkesan dalam membantu kanak-kanak memahami ilmu perhutanan.

“Pendekatan yang paling melekat dengan kanak-kanak sebenarnya adalah secara praktikal atau ‘experiential learning’.

“Maknanya mereka belajar melalui pengalaman. Bila dia alami dan dia buat apa yang kita ajar, dia lebih senang ingat berbanding dia belajar secara teori ataupun membaca,” jelasnya.

Pendekatan itu turut menjadi antara faktor ibu bapa memilih aktiviti luar untuk anak-anak, selain mahu mengurangkan kebergantungan kepada gajet.

Bina keberanian, kurangkan masa dengan gajet

Peserta mencuba aktiviti yang disediakan ketika program Kiddoactiv Forest School di Acotree Camp Semungkis, Hulu Langat pada 25 Julai 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Ibu peserta, Nurulsyafika Umar, 33, berkata beliau membawa anaknya yang berusia lima tahun menyertai aktiviti luar bagi membantu mengatasi rasa takut untuk mencuba perkara baharu.

“Sekurang-kurangnya seharian dia boleh kembali ke alam semula jadi, mana tahu lepas ini kami boleh masuk hutan sama-sama untuk berkhemah.

“Selain itu, dia boleh bina keyakinan diri, tambah pengetahuan daripada tengok gajet sahaja seharian,” katanya yang datang dari Sepang.

Bagi Norain Ibrahim, 37, pendedahan kepada alam semula jadi dapat membantu anaknya membina keberanian serta memahami batas dan risiko ketika melakukan aktiviti luar.

“Lepas sertai program macam ni, nampak dia lebih berani untuk ke depan, bercakap, mencuba dan bergaul. Itu yang kita nak dari program ini,” katanya.

Anaknya, Muhammad Haris, 10, berkata program itu memberinya peluang melakukan aktiviti yang diminati termasuk menangkap ikan dan memanjat pokok.

“Bila belajar, jadi berani sikit nak panjat pokok. Sebelum ini takut. Lepas itu boleh guna masa berkhemah,” katanya yang juga ahli unit beruniform pengakap di sekolah.

Peserta program Kiddoactiv Forest School di Acotree Camp Semungkis, Hulu Langat pada 25 Julai 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sesat dalam hutan? Ajarkan anak amalan STOP

Stop/Sit – Berhenti berjalan dan duduk supaya tidak tersesat lebih jauh

Think – Imbas kembali laluan, trek dan arah perjalanan sebelum tersesat

Observe – Perhatikan keadaan sekeliling dan kenal pasti sumber yang ada seperti makanan, air, ubat serta peralatan kecemasan

Plan – Rancang tindakan yang realistik berdasarkan keadaan sekeliling dan sumber tersedia

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.