SHAH ALAM, 13 OKT: Selangor FC berkemungkinan terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan semula khidmat kapten pasukan, Faisal Halim, apabila proses pemulihan kecederaan pemain sayap kebangsaan itu dijangka mengambil masa.
Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon mengakui sedih dengan situasi yang menimpa pemain berusia 28 tahun itu, namun berharap Faisal dapat pulih sepenuhnya dan kembali memperkuat Gergasi Merah secepat mungkin.

“Ya, ini bukan sesuatu yang bagus. Kita perlu mengambil sedikit masa bagi proses pemulihan kecederaan Faisal. Saya rasa sedih.
“Tetapi perkara itu boleh berlaku. Beliau mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas bersama skuad kebangsaan. Saya harap beliau dapat pulih secepat mungkin, tetapi ia mungkin mengambil masa,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Faisal mengalami kecederaan ketika menyarung jersi Harimau Malaya dalam kempen Piala ASEAN FIFA, selepas aksi kedua Kumpulan A menentang Indonesia.
Kecederaan itu menyaksikan pemain sayap berkenaan terlepas dua perlawanan penting bersama skuad kebangsaan, masing-masing menentang Singapura dalam aksi terakhir peringkat kumpulan dan Vietnam bagi perebutan tempat ketiga.
Kehilangan Faisal turut dirasai Selangor, yang tewas 2-3 kepada Star City dalam aksi suku akhir kedua Piala FA kelmarin.
Situasi itu pastinya menjadi cabaran buat Pan Gon untuk merencana percaturan pasukan tanpa kelibat kapten berkenaan, sementara menantikan perkembangan lanjut proses pemulihannya.





