SHAH ALAM, 21 MAC: Kapten Selangor FC, Faisal Halim mengakui keserasian bersama ketua jurulatih Kim Pan Gon menjadi faktor utama peningkatan prestasinya di atas padang.
Menurut pemain sayap itu, pengalaman bersama jurulatih dari Korea Selatan berkenaan ketika bersama skuad kebangsaan sebelum ini memudahkannya memahami kehendak taktikal sekali gus membantu Gergasi Merah mempamerkan aksi cemerlang.
“Apa yang dia terapkan, apa yang dia mahukan, saya mudah terima, mudah faham. Jadi saya boleh berikan apa yang termampu.
“Sebelum kehadiran Coach Kim, saya dah berjuang dengan sepenuh hati. Tapi bila dia ada, lebih menyuntik semangat,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Faisal berkata sokongan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut menjadi pemangkin untuk beliau kembali lincah di padang.
“Sokongan Baginda berdua tak akan dilupakan. Tuanku dan RMS beri jaminan dan ruang untuk saya kembali dalam pasukan. Selain itu saya juga mendapat sokongan kelab dan rakan sepasukan.
“Saya amat terharu dan teruja. Terima kasih Tuanku dan RMS kerana beri kepercayaan kepada saya dan ini masa untuk saya buktikan.
“Saya akan balas dengan memberi prestasi terbaik, pamer persembahan terbaik. Saya manfaatkan peluang ini,” katanya.
Pada awal Januari lalu, Selangor FC mengesahkan pelantikan Pan Gon yang juga bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, sebagai ketua jurulatih baharu Gergasi Merah.
Dalam kenyataan sama, kelab turut mengumumkan bekas jurulatih interim Christophe Gamel dilantik sebagai Pengarah Teknikal bagi memperkukuh perancangan jangka panjang pasukan.
Selangor FC percaya Pan Gon mampu memacu prestasi skuad utama Gergasi Merah serta memastikan pasukan kekal kompetitif di peringkat tertinggi.
Pan Gon pernah membimbing skuad Harimau Malaya dari 2022 hingga 2023, termasuk membawa pasukan mencatat beberapa keputusan positif di peringkat antarabangsa.
Jurulatih itu sebelum ini mengendalikan kelab gergasi K-League, Ulsan Hyundai, sekali gus membawa bersama pengalaman luas di pentas bola sepak Asia.








