SHAH ALAM, 14 MAC: Bagi kebanyakan orang, ucapan “terima kasih” mungkin sekadar ungkapan biasa.
Namun bagi petugas kebersihan yang setiap hari mengutip sampah dan membersihkan longkang, penghargaan kecil itu membawa makna besar dan menyuntik semangat mereka meneruskan tugas.
Mohd Ashri Nor, 62, yang bertugas sebagai pemandu berkata kebanyakan masyarakat kini menunjukkan sikap positif dan memberi kerjasama ketika mereka menjalankan tugas.
Menurutnya, orang ramai bukan sahaja mengucapkan terima kasih, malah turut membantu memudahkan kerja petugas dengan membuang sampah mengikut kategori yang betul.
“Selalunya masyarakat akan berterima kasih dan memberi kerjasama semasa kami bekerja. Kebersihan ini tanggungjawab bersama, jadi semua pihak perlu buang sampah mengikut kategori,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau ditemui pada Majlis Santunan Ramadan Bersama Pekerja Sektor Pembersihan anjuran Yayasan Amal Persatuan Alumni Sekolah Alam Shah (ASAS) dengan kerjasama KDEB Waste Management melalui anak syarikatnya KDEB ICI Sdn Bhd di Shah Alam pada Khamis (12 Mac).
Majlis itu merupakan program tahunan Yayasan Amal ASAS yang dijalankan di beberapa negeri setiap bulan Ramadan sejak 2022 sebagai tanda penghargaan kepada pekerja sektor pembersihan.
Sementara itu, Muhamad Sharul Sapari, 39, berkata penerimaan masyarakat terhadap kerjaya petugas kebersihan semakin baik sejak kebelakangan ini.
Katanya, ramai yang mula memahami cabaran sebenar tugas tersebut selepas melihat sendiri bagaimana proses kutipan sampah dilakukan setiap hari.
“Masyarakat sekarang semakin faham dengan kerja kami. Ada yang pastikan sampah dimasukkan dalam beg plastik supaya lebih mudah untuk kami uruskan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membuang sampah mengikut kategori dan menggunakan tong sampah yang disediakan bagi memudahkan proses kutipan.
Bagi Muhammad Izzah Md Kamal, 38, yang bertugas sebagai pemandu dan pembersih longkang, kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan usaha menjaga kebersihan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Menurutnya, sikap berdisiplin dalam membuang sampah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan mampu membantu memastikan persekitaran sentiasa bersih serta selamat.
“Masyarakat perlu berdisiplin untuk menjaga kebersihan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada,” katanya.









