SHAH ALAM, 13 MAC: Letupan tong gas di sebuah kedai shawarma dipercayai menjadi punca kebakaran di Hotel Mira Ajyad, Makkah, menyebabkan lebih 600 penghuni hotel berkenaan dipindahkan sebagai langkah keselamatan.
Pengurus Jualan (Asia Tenggara) Hotel Mira Ajyad, Azizan Ariff Ariffin berkata kebakaran dipercayai bermula dari stor belakang restoran berkenaan apabila tong gas yang bocor meletup sebelum api merebak ke bahagian luar bangunan hotel.
Menurutnya, api yang tercetus di restoran berkenaan gagal dikawal pekerja sebelum merebak ke panel dinding luar hotel bersebelahan.
"Kedai shawarma itu ada stor di bahagian belakang yang menyimpan tong gas. Tong gas itu bocor dan meletup sebelum api semakin besar dan tidak dapat dikawal.
"Api kemudian merebak ke panel dinding luar Hotel Mira Ajyad, sebab itu kita nampak api naik tinggi di bahagian luar bangunan," katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kebakaran tersebut tidak merebak ke bahagian dalam hotel, sebaliknya hanya melibatkan panel dinding luar bangunan.
"Asap memang masuk ke dalam tetapi bilik dan bahagian dalam hotel tidak terbakar," katanya.

Beliau berkata, pihak bomba yang tiba di lokasi berjaya memadamkan kebakaran selepas menerima bantuan jentera yang sesuai untuk mencapai bahagian luar bangunan yang lebih tinggi.
Katanya, dalam kejadian itu, semua penghuni hotel berjaya dipindahkan dengan selamat, termasuk jemaah yang berada di dalam bilik ketika kebakaran berlaku.
"Semua penghuni sudah keluar dan dipindahkan. Ada yang ditempatkan di hotel lain, termasuk yang diuruskan pihak hotel sendiri bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dijalankan," katanya.
Dalam pada itu, Azizan Ariff berkata, pihak berkuasa mengarahkan hotel berkenaan dikosongkan selama tiga hari bagi membolehkan kerja penilaian keselamatan dilakukan.
"Pihak bomba dan pertahanan awam minta hotel dikosongkan selama tiga hari untuk membuat penilaian. Pada masa sama, pihak hotel juga sedang memeriksa semua sistem termasuk pendawaian dan bekalan kuasa," katanya.

Beliau berkata, kerja pemulihan bekalan elektrik kini dilakukan secara berperingkat di setiap tingkat hotel sebelum penghuni dibenarkan kembali masuk selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Sementara itu, katanya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut, namun stor belakang restoran berkenaan hangus terbakar.
Terdahulu, Wisma Putra mengesahkan kira-kira 70 jemaah Malaysia yang menginap berkenaan selamat dan sudah dikenal pasti.
Kementerian Luar memaklumkan semua jemaah terbabit berada di bawah kelolaan agensi pelancongan umrah TH Travel, Zahafiz Travel dan Rayhar Travel.
Hotel itu merupakan antara tempat penginapan pilihan jemaah umrah dan haji antara termasuk dari Malaysia kerana lokasinya yang dekat dengan Masjidil Haram.








