Wisma Putra sahkan rakyat Malaysia di Mindanao selamat

8 Jun 2026, 8:25 AM
Wisma Putra sahkan rakyat Malaysia di Mindanao selamat

PUTRAJAYA, 8 JUN: Semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City disahkan selamat susulan gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Mindanao, Filipina pagi tadi.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City telah berjaya menghubungi rakyat Malaysia yang menetap di General Santos City bagi mengesahkan keadaan mereka.

Menurut kementerian, seramai 59 rakyat Malaysia berdaftar secara rasmi dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City.

“Konsulat Jeneral sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Filipina yang berkaitan bagi memantau keselamatan keseluruhan komuniti warganegara Malaysia di rantau terbabit.

“Warganegara Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan ke kawasan yang terjejas dinasihatkan dengan tegas untuk kekal berwaspada, segera berpindah ke kawasan yang lebih tinggi sekiranya berada berhampiran pantai, dan mematuhi sepenuhnya semua arahan keselamatan serta pemindahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Filipina,” menurut kenyataan itu.

Kementerian berkata pihaknya menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City dan Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang memantau secara berterusan perkembangan susulan gempa bumi yang berlaku pada jam 7.37 pagi.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa Filipina telah mengeluarkan amaran tsunami selain melaporkan kejadian gempa susulan yang berterusan di kawasan terjejas.

Di Davao City, semua sekolah dan pejabat kerajaan diarahkan tutup sebagai langkah keselamatan, manakala beberapa bangunan di General Santos City dilaporkan mengalami kerosakan struktur.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) mengumumkan pembatalan beberapa penerbangan domestik melibatkan laluan ke dan dari General Santos, Manila, Cebu serta Iloilo susulan pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang yang terjejas.

“Warganegara Malaysia yang perancangan perjalanan mereka terjejas akibat gangguan ini dinasihatkan untuk berhubung terus dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini penerbangan dan pengaturan penjadualan semula,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra turut menggesa rakyat Malaysia mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan urusan komunikasi dan bantuan konsular sekiranya diperlukan.

Bagi bantuan konsular kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City melalui talian +63 951 816 6125 atau Kedutaan Besar Malaysia di Manila menerusi talian +63 961 077 8113.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.