Serangan dron sasar Lapangan Terbang Kuwait, tiada rakyat Malaysia terjejas

4 Jun 2026, 3:53 AM
Serangan dron sasar Lapangan Terbang Kuwait, tiada rakyat Malaysia terjejas

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Kementerian Luar mengesahkan tiada laporan rakyat Malaysia terjejas akibat insiden serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait pada awal pagi 3 Jun.

Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait sedang memantau rapat situasi susulan serangan itu dan mengesahkan bahawa kesemua warganegara Malaysia yang berdaftar di negara berkenaan berada dalam keadaan selamat.

“Susulan serangan itu, lapangan terbang berkenaan telah ditutup buat sementara waktu dan semua penerbangan komersial telah digantung sehingga diberitahu kelak.

“Warganegara Malaysia yang perancangan perjalanan mereka terjejas akibat gangguan ini dinasihatkan untuk menghubungi syarikat penerbangan masing-masing secara terus bagi mendapatkan pengaturan alternatif dan penjadualan semula penerbangan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kementerian itu, yang juga dikenali sebagai Wisma Putra turut menggesa warganegara Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan di rantau itu untuk mengekalkan tahap kewaspadaan tertinggi serta mematuhi sepenuhnya sebarang arahan keselamatan, sekatan pergerakan, atau arahan kecemasan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Warganegara Malaysia yang belum mendaftar keberadaan mereka diseru untuk berbuat demikian dengan segera menerusi portal e-Konsular Kementerian di pautan https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan yang pantas.

Bagi bantuan konsular segera atau kecemasan, warganegara Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait menerusi talian telefon (pertanyaan umum): +965 2255 0394 / +965 2255 0395 atau talian kecemasan: +965 9678 3036 atau e-mel kepada mwkuwait@kln.gov.my

Wisma Putra akan terus memantau perkembangan situasi ini secara dekat dan akan menyalurkan maklumat terkini jika perlu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.