SHAH ALAM, 13 MAC: Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang melarikan diri daripada polis sehingga merempuh kenderaan peronda dalam kejadian di Jalan Banting, Pandamaran, di Klang semalam, berjaya ditahan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam apabila kereta peronda polis terserempak dengan sebuah kenderaan mencurigakan, sebelum mengarahkan pemandunya berhenti.
Bagaimanapun katanya, suspek bertindak melarikan diri sebelum kenderaan peronda mengejar suspek sejauh kira-kira 10 kilometer.
“Suspek bertindak melarikan diri sehingga persimpangan lampu isyarat bersebelahan stesen minyak Caltex di jalan yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ketika cuba melarikan diri, suspek turut melanggar bahagian tepi kiri kereta peronda polis sebelum berjaya diberhentikan dan ditahan.
Dalam kejadian sama, suspek turut melanggar dua buah kereta jenis Toyota Vios sehingga menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut mengalami kerosakan pada bumper sebelah kanan.
"Siasatan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah dan empat rekod dadah lampau termasuk dua rekod dikehendaki," katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan terhadap kenderaan suspek turut menemui dua paket dipercayai dadah jenis Methamphetamine.
Susulan kejadian itu, polis membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta memandu secara melulu.
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dan menyalahgunakan dadah.
"Permohonan reman terhadap suspek akan dibacakan di Mahkamah Majistret Klang hari ini," ujarnya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.








