SHAH ALAM, 25 OKT: Kes kematian seorang penghantar barang berusia 21 tahun yang cedera parah ketika menghadiri acara gig di sebuah kafe di Melaka, diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kes itu pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan sebelum diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 kanun sama.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada 21 Oktober lalu, empat hari selepas mengalami kecederaan serius di bahagian belakang kepala dalam kejadian pada 17 Oktober.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai penghantar barang dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 3.53 petang, Rabu lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Halim berkata, polis menahan 10 individu berusia antara 18 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan berkaitan, acara gig di sebuah kafe di Kampung Jawa itu dilaporkan tidak mempunyai permit polis mahupun kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penganjuran acara itu,” katanya.
Sebelum ini, kes berkenaan tular di media sosial Threads dan mencetuskan perhatian orang ramai selepas mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya ketika acara itu berlangsung.
Difahamkan, insiden berlaku ketika mangsa dikatakan melakukan aksi mosh atau spinning kick, namun pergerakannya tersasar sebelum terjatuh dan mengalami kecederaan.







