KUALA LUMPUR, 25 OKT: Polis Kuala Lumpur menahan 55 individu dalam dua serbuan menerusi Ops Tembok 01/2026 di dua lokasi berasingan di sekitar ibu negara hari ini bagi membanteras pelbagai kesalahan dan aktiviti jenayah melibatkan warga China.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata serbuan pertama dijalankan di sebuah pusat hiburan di Jalan Chan Sow Lin di sini, yang membawa kepada penahanan 50 individu berusia antara 19 hingga 44 tahun.
Beliau berkata mereka terdiri 21 lelaki yang merupakan pelanggan dan lima pekerja premis berkenaan serta 23 wanita yang dipercayai berperanan sebagai pelayan khidmat pelanggan dan kesemuanya warga China, selain seorang lelaki warga tempatan
“Hasil serbuan dan pemeriksaan mendapati premis itu tidak mempunyai lesen hiburan yang sah atau sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa untuk menjalankan perniagaan pusat hiburan.
“Polis turut mendapati pekerja warga asing di premis berkenaan bekerja tanpa permit yang sah, tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah dan disyaki berperanan sebagai pelayan khidmat pelanggan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Fadil berkata dalam serbuan itu, polis merampas sekeping resit perniagaan, satu unit mikrofon tanpa jenama, satu unit LED Video Processor tanpa jenama, satu unit pembesar suara jenama Qmotion dan satu unit pengawal DJ profesional jenama Pioneer.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua suspek akan dibawa ke hadapan Majistret esok bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan,” katanya.
Dalam serbuan kedua di sebuah kediaman di Persiaran KLCC pula, beliau berkata pihaknya menahan lima lelaki terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan dan empat lelaki warga China berusia antara 27 hingga 44 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian daun terup.
“Hasil siasatan mendapati kediaman itu dijadikan lokasi perjudian haram sejak tiga bulan lepas, dengan kegiatan berkenaan beroperasi setiap hari dari 1 hingga 3 pagi.
“Kesemua suspek mengaku terlibat dalam permainan perjudian ‘Chinese Poker’ dan mendapat jemputan daripada kenalan melalui aplikasi media sosial,” katanya.
Turut dirampas sebuah meja, empat kerusi, dua biji dadu, sebuah mangkuk, 76 keping cip pelbagai warna bernilai RM600, 52 keping daun terup serta wang pertaruhan pelbagai nilai berjumlah RM3,870.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari hingga 26 Okt bagi membantu siasatan.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan perjudian dan kesalahan jenayah boleh disalurkan kepada Polis Kuala Lumpur menerusi talian hotline 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA







