Kes baling bom petrol rumah Rohingya: 15 ditahan, empat dituduh esok

28 Okt 2026, 1:25 PM
Kes baling bom petrol rumah Rohingya: 15 ditahan, empat dituduh esok

SHAH ALAM, 28 OKT: Polis menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes balingan bom molotov di kawasan penempatan warga Rohingya di Kulai Besar, Kulai pada 13 Oktober lalu, menjadikan keseluruhan 15 individu ditahan setakat ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata kedua-dua suspek tempatan berusia antara 27 hingga 28 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sekitar Johor Bahru pada 20 Oktober lalu, lapor Berita Harian.

"Susulan tangkapan 13 lelaki tempatan bersabit kes ini, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menahan dua lagi suspek lelaki tempatan berusia 27 dan 28 tahun di sekitar bandar raya ini.

"Semakan rekod jenayah lampau terhadap kedua-dua suspek mendapati seorang daripadanya mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah. Ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek pula negatif ," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ab Rahaman berkata daripada semua 15 suspek yang ditahan, empat daripada mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, esok.

“Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor dan suspek akan didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana dengan niat bersama melakukan khianat dengan api atau benda letupan.

"Seramai 11 lagi suspek akan dibebaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah," jelasnya.

Ab Rahaman menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk perlakuan jenayah yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan negeri.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.