SHAH ALAM, 13 MAC: Dua loji sisa kepada tenaga (WTE) di Jeram dijadual beroperasi sepenuhnya pada April ini sekali gus menandakan satu fasa baharu di Selangor, iaitu peralihan pengurusan sisa daripada tapak pelupusan tradisional kepada teknologi moden.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEB Waste Management, Ahmad Rizal Mohd Daud berkata penggunaan teknologi baharu itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal malah mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dengan serta pengurangan pencemaran bau.
“Teknologi moden ini harus dimanfaatkan bagi memastikan negeri kekal bersih, berikutan kitar semula sahaja tidak memadai untuk strategi pengurusan sisa pada masa hadapan.
“Teknologi berkenaan juga dijangka menarik minat lebih ramai warga tempatan untuk menceburi sektor pengurusan sisa.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Santunan Ramadan Bersama Pekerja Sektor Pembersihan yang dianjurkan Yayasan Amal ASAS dengan kerjasama KDEB Waste Management melalui anak syarikatnya KDEB ICI Sdn. Bhd. di Shah Alam, semalam.
Program yang turut mendapat sokongan ILTIZAM by Ekuinas itu bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan krew pembersihan serta pemandu lori yang setiap hari memastikan pengurusan sisa pepejal dan kebersihan bandar berada pada tahap terbaik termasuk sepanjang Ramadan.
Seramai 100 pekerja terdiri daripada pemandu lori, kelindan dan pekerja pembersihan menerima sumbangan barangan keperluan asas dalam program berkenaan.
Dalam pada itu, Ahmad Rizal berkata krew pembersihan dan pemandu lori merupakan wira yang sering tidak kelihatan, namun memainkan peranan besar dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, inisiatif santunan Ramadan itu juga selari dengan usaha berterusan KDEB Waste Management dalam memupuk budaya menghargai pekerja barisan hadapan di samping memperkukuhkan nilai kebersamaan serta keprihatinan sosial.










