SHAH ALAM, 12 MAC: Taktik sindiket dadah menjadikan inap desa sebagai stor penyimpanan terbongkar apabila polis merampas 62 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM3.1 juta dalam serbuan di Kampung Permatang Rengan, Kota Kuala Muda, kelmarin.
Serbuan hasil risikan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga stor dadah berkenaan.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 6.30 petang apabila suspek ditahan di tepi jalan di kampung berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan awal terhadap suspek menemui sejumlah kecil dadah sebelum polis menjalankan pemeriksaan lanjut di sebuah inap desa berhampiran.
“Kita merampas 150 gram dadah jenis syabu serta kunci inap desa sebelum suspek dibawa ke sebuah inap desa berdekatan.
“Pemeriksaan lanjut kemudian membawa kepada penemuan 62 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta yang disorokkan di bawah katil di dalam salah sebuah bilik di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah hari ini.
Adzli berkata, semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing juga didapati negatif.
Katanya, suspek dipercayai berada di negara ini sejak dua hingga tiga tahun lalu dan melakukan kerja kampung, namun polis masih menyiasat dokumen kemasukannya ke negara ini.
“Sewaktu pemeriksaan di inap desa, tiada individu lain berada di lokasi dan suspek dipercayai menjadi penjaga stor dengan bayaran sekitar RM116 atau Rp500,000 bagi setiap kilogram dadah,” katanya.
Beliau berkata, susulan penahanan lelaki terbabit, polis turut menahan sepasang suami isteri berusia 42 dan 32 tahun yang dipercayai menyewa inap desa berkenaan.
“Kedua-duanya ditahan di Penaga, Pulau Pinang pada jam 11 malam Rabu lalu, namun semakan mendapati mereka juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif,” katanya.








