SHAH ALAM, 22 APRIL: Polis Melaka menahan seorang lelaki yang juga pempengaruh media sosial bagi membantu siasatan kes kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja.
Ketua Polisnya, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata lelaki berusia 39 tahun itu yang merupakan anak kepada pengasuh mangsa, direman tujuh hari bermula 16 April sebelum tempoh reman disambung lima hari lagi bermula esok hingga 27 April, lapor Berita Harian.
Menurutnya, kes terbongkar apabila mangsa dibawa ke Hospital Melaka pada jam 5 petang, 14 April lalu dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri.
“Hasil pemeriksaan mendapati ujian saringan air kencing mangsa positif THC, iaitu bahan aktif yang lazim dikaitkan dengan dadah jenis ganja.
“Sebelum itu, mangsa berada di bawah jagaan seorang pengasuh di Sungai Putat sebelum diambil ibunya untuk mendapatkan rawatan. Mangsa juga pernah menerima rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan di zon merah hospital sama pada 11 April lalu,” katanya.
Beliau berkata, susulan maklumat yang diterima, polis menahan suspek pada jam 3.31 petang, 15 April lalu di kediamannya di Sungai Putat.
Katanya, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Cawangan D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya juga negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.








