BUKIT MERTAJAM, 9 JUN: Polis menahan seorang lelaki selepas video memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu secara melulu sehingga melanggar beberapa kenderaan di Lebuhraya Utara–Selatan, yang turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata suspek berumur 29 tahun itu ditahan oleh orang awam di Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE) berhampiran Seberang Jaya sebelum diserahkan kepada polis, manakala pemeriksaan lanjut menemukan dadah disyaki methamphetamine dan ketamin dalam milikannya.
Beliau berkata polis menerima maklumat tentang kejadian pada 10.05 pagi dan siasatan awal mendapati suspek dipercayai memandu secara melulu dan berbahaya dari arah Sungai Dua menghala ke Pulau Pinang sehingga melanggar beberapa buah kenderaan di sepanjang laluan berkenaan.
“Suspek berjaya ditahan oleh orang awam di kawasan BKE berhadapan sebuah stesen minyak di Seberang Jaya sebelum diserahkan kepada polis yang tiba di lokasi.
“Pemeriksaan terhadap sebuah beg silang yang disandang suspek menemukan satu peket plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki methamphetamine seberat 0.75 gram dan satu lagi peket plastik lutsinar mengandungi hablur putih disyaki ketamin seberat 2.38 gram,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Nik Aminuddin berkata hasil saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan morfin selain mempunyai 15 rekod kesalahan berkaitan dadah serta dua rekod kesalahan jenayah.
Beliau berkata suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi ini bagi permohonan reman.
Siasatan berhubung kemalangan itu pula, katanya, dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan.
Nik Aminuddin berkata polis sedang mengesan semua mangsa serta saksi bebas yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Vignesh Kalaiselvan menerusi talian 011-14572390 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan sebuah Mitsubishi Triton dipandu secara melulu di kawasan Seberang Jaya sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.






