SHAH ALAM, 12 MAC: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengeluarkan 24 kompaun dalam Operasi Bersepadu Premis Warga Asing yang dijalankan di sekitar Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam.
Operasi bermula jam 9 pagi hingga 2 petang semalam itu dilaksanakan Jabatan Penguatkuasa MPKS dengan kerjasama beberapa jabatan dalaman serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Selangor.
Antara jabatan terlibat ialah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran, Jabatan Kawalan Bangunan serta Jabatan Pelesenan MPKS dengan kekuatan keseluruhan seramai 43 anggota.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 10 premis dipantau dengan lapan premis didapati beroperasi manakala 2 premis lagi tidak beroperasi ketika pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat premis menjalankan perniagaan tanpa lesen sah, mempamerkan iklan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan, tahap kebersihan premis tidak memuaskan, pembuangan sampah secara tidak teratur serta halangan di tempat awam.
“Selain itu, terdapat premis didapati membuat perubahan struktur bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa,” maklum MPKS menerusi kenyataan.
Menurut MPKS, sebanyak 24 kompaun dikeluarkan melibatkan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007, Undang-Undang Kecil Iklan (MDKS) 2007 serta Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-Sarap (MDKS) 2007.
Selain itu, sebanyak 11 notis turut dikeluarkan kepada pemilik premis manakala tindakan sitaan peralatan perniagaan dilaksanakan terhadap 7 premis yang didapati beroperasi secara tidak sah.
MPKS memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat operasi pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.











