90 peratus kes buang sampah kecil berpunca daripada puntung rokok

12 Mac 2026, 5:34 AM
90 peratus kes buang sampah kecil berpunca daripada puntung rokok

SHAH ALAM, 12 MAC: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mendedahkan hampir 90 peratus individu yang ditahan kerana kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam dikenal pasti membuang puntung rokok.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khalid Mohamed berkata trend itu dikesan berdasarkan tangkapan sejak penguatkuasaan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bermula 1 Januari lalu.

Menurut beliau, pada peringkat awal penguatkuasaan, kebanyakan kes membabitkan pembuangan sampah kecil seperti tisu atau bekas makanan dan minuman.

"Bagaimanapun, berdasarkan tangkapan kebelakangan ini, hampir 90 peratus kes membabitkan individu yang membuang puntung rokok.

“Setakat semalam seramai 1,002 individu dikenal pasti melakukan kesalahan membuang sampah kecil di bawah akta terbabit, selain 189 kes sudah disebut di mahkamah manakala 76 kes sudah selesai dibicarakan," katanya seperti dilapor BH.

Sementara itu, Khalid berkata siri kedua Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) melibatkan lima pesalah berusia antara 26 hingga 59 tahun terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita, termasuk seorang warga India.

“Oleh itu, mahkamah memerintahkan pesalah berkenaan menjalani khidmat masyarakat selama empat jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh sebulan, melibatkan tugasan seperti menyapu jalan, membersihkan longkang dan mencuci tandas.

“Pelaksanaan PKM pada Ramadan turut mengambil kira kebajikan pesalah Muslim dengan memilih lokasi tugasan yang sesuai,” katanya.

Mengulas sebab yang sering diberikan pesalah, Khalid berkata ketiadaan tong sampah antara alasan kerap dikemukakan walaupun kemudahan itu berada berhampiran.

“SWCorp akan meneruskan penguatkuasaan menerusi PKM siri ketiga pada 28 Mac ini yang dijangka membabitkan lebih 100 pesalah secara serentak di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.